CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday 8 February 2012

Hukum 'Couple dan Dating’ Dalam Pandangan Islam

Pada asasnya, hukum bercinta, berkasih, berpasangan (couple) atau seumpamanya adalah HARUS.

Kerana Islam adalah agama kasih sayang dan ukhuwwah (persaudaraan). Namun di sana terdapat beberapa keadaan atau tindakan yang boleh menjadikannya HARAM.

Islam menetapkan syarat-syarat tertentu dalam perhubungan kasih sayang antara lelaki dan wanita bukan mahram. Antaranya :

PERTAMA: MEMPUNYAI NIAT YANG BAIK DAN NIAT ITU BERTERUSAN DALAM KEADAAN BAIK

Hubungan kasih sayang antara seorang lelaki dan wanita mesti diasaskan atas niat yang baik dan suci iaitu bertujuan untuk berkahwin demi menegakkan sebuah rumah tangga yang diredhai Allah. Justeru sebarang perhubungan yang tidak bertujuan seperti tersebut adalah HARAM seperti bercouple untuk berhibur, bersuka-suka, mencari keseronokan, melepaskan keinginan hawa nafsu,membalas dendam kepada wanita dan sebagainya.


KEDUA: HENDAKLAH MEMATUHI SYARIAT (PERATURAN) AGAMA

Maksudnya dalam menjalin hubungan itu kedua-dua pihak mesti menjaga batas-batas pergaulan seperti yang ditentukan syariat. Seperti tidak berdua-duaan tanpa mahram samada secara nyata atau di alam cyber (internet).


Lumrah bercouple tidak dapat lari daripada ber"dating", ber"shopping" dan sebagainya malah ada yang sampai ke peringkat "membonceng". Tidak kurang juga (tanpa segan silu) menggunakan istilah-istilah yang kononnya menunjukkan sikap "caring" seperti memanggil darling kepada pasangannya. Paling tidak, pasti didalam pertemuan(dating) akan berlaku pandangan mata yang tidak harus, perbicaraan yang tidak wajar dan seumpamanya.


Semua itu adalah bercanggah dengan peraturan dan tatacara hidup Islam yang mengharamkan perhubungan bebas di antara lelaki dan perempuan. Perlu disedari, apabila Syariat Islam mengharamkan sesuatu perkara/perbuatan, maka tindakan yang menuju kepada perkara yang diharamkan tersebut juga turutmenjadi haram. Kaedah Fiqh ada menyebutkan :


“Sesuatu yang membawa kepada yang haram, maka ia juga menjadi haram”.

Justeru berdasarkan kaedah ini, bercouple yang membawa kepada perlanggaran hukum syariat adalah haram.


KETIGA: WAJIB MENJAGA MARUAH (PERIBADI) SEORANG WANITA


Syariat islam mewajibkan keatas ibubapa atau penjaga wanita menjaga maruah wanita tersebut,memeliharanya dari pergaulan bebas agar wanita itu kekal dalam keadaan suci maruah dan akhlaknya. Kesucian wanita menjadi lambang kesucian sesebuah masyarakat.


Apabila pasangan yang couple berdating, maka keperibadiannya sebagai seorang wanita muslimah akan dipersoalkan, diragui kesucian akhlaknya. Khalayak tidak akan berbicara tentang si lelaki yang bercouple tersebut, tetapi si perempuan, bagaimana begitu mudah si perempuan tersebut merelai dirinya dipermainkan seperti barang tidak berharga, di bawa ke sana-sini atau setidak-tidaknya umum akan menganggap bahawa perempuan tersebut telah dimiliki. Kesan buruk lain yang mungkin dihadapi ialah apabila berlaku perpisahan antara pasangan tersebut. Masyarakat akan mula membuat pelbagai tanggapan negatif terhadapnya.Prasangka-prasangka negatif akan direka dan dihebahkan. Akhirnya berlakulah tohmahan-tohmahan yang menjatuhkan maruah dan kehormatannya. Ingatlah bahawa Islam amat prihatin dalam penjagaan maruah seorang wanita. Di atas dasar itulah adanya hukum Qazaf dan kerana tujuan tersebut jugalah Islam mengharamkan perhubungan yang diluar batasan,kerana Islam memelihara kehormatan seorang wanita.


KEEMPAT: PERHUBUNGAN ITU TIDAK MEMBAWA KEPADA PEMBAZIRAN WANG DAN WAKTU

Di dalam bercouple, biasanya remaja tidak berkira dalam menjaga tatasusilanya dalam perbelanjaan. Sedangkan agama menuntut kita berhemat dalam berbelanja kerana harta yang Allah beri pada kita adalah amanah dan ujian ke atas kita.

Lelaki biasanya akan banyak menghabiskan duit pinjaman PTPTN, JPA, yayasan negeri (bagi mahasiswa IPT)atau duit pemberian ibubapa untuk memenuhi kehendak pasangan wanitanya. Terdapat juga keadaan di mana si gadis yang berbelanja si lelaki. Itu belum dikira dengan pembelian kad top-up handset yang 'out of control'. Hanya kerana call untuk tanya khabar, dah makan ke belum. Cuba bayangkan jumlah wang perlu dibazirkan hanya untuk perkara yang sangat tidak perlu. Justeru, penggunaan wang kepada perkara yang tidak wajar adalah haram dan ditegah oleh syarak. Perbuatan membazir dan menyalahgunakan harta adalah amalan syaitan.

" Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya." (Al-Israa : 27)


Begitu juga dalam soal waktu. Waktu adalah modal hidup kita yang tidak boleh dipersiakan begitu sahaja. Bercouple akan membazirkan waktu. Lebih malang lagi, masa yang amat terhad sebagai seorang mahasiswa atau remaja telah diisi dengan perbuatan-perbuatanyang ditegah oleh Allah. Bukankah berdating, berbual telefon secara marathon dan lain-lain aktiviti rutin bercouple merupakan perbuatan yang menyimpang dari anjuran agama. Justeru setiap saat dan minit yang digunakan bagi tujuan tersebut akan dipersoal dan diperbicarakan dihadapan Allah.


Demikianlah syarat-syarat yang ditetapkan oleh Allah ke atas hambaNya dalam hal perhubungan kasih sayang antara dua insan yg saling menyintai. Tetapi apa yg berlaku dalam masyarakat kita, bila pasangan itu bercinta hukum dan batasan agama dilangggar sewenang-wenangnya, bahkan saat itu hawa nafsulah yang menjadi tuhan mereka. Segala nasihat yg diberi, samada dari ibubapa dan rakan semuanya dianggap penghalang cinta suci mereka.


Manakala hukum dating tanpa mahram adalah dilarang dan haram hukumnya. Kerana berdating bererti menghampiri zina. Dalam Islam seseorang itu dilarang keras dari menghampiri zina. Oleh kerana zina itu mendatangkan dosa besar, maka melakukan perbuatan yang boleh membawa kepada perzinaan termasuklah dating ini adalah haram dan berdosa.


Allah SWT mengharamkan pandangan tanpa kepentingan antara lelaki dan wanita bukan mahram (sila rujuk Surah An Nur: 30,31), apalagi jika bertemu berdua-duaan tanpa mahram.


Sudah diketahui bahawa dalam pertemuan/dating itu akan berlaku perbualan, renungan, bisikan dan pujuk rayu yang akan membawa kepada sentuhan dan ada yg berakhir dengan hubungan intim (seks) yang haram atau zina.

Zina berlaku disebabkan adanya dating, jika tiada dating pasti tidak akan berlaku zina.

Seperti yang disebut di atas bahawa kaedah Fiqh menjelaskan "Setiap sesuatu yang membawa kepada perlakuan yang haram, maka hukum melakukan perkara tersebut adalah haram".

Maka hukum dating adalah HARAM kerana ia membawa kepada yang haram iaitu zina.


Jauhilah dari berdating kerana ianya adalah jalan mudah bagi syaitan menjerumuskan anak Adam ke lembah perzinaan. Dengan dating membawa kepada perlanggaran hukum-hukum agama secara leluasa seperti berpandangan tanpa keperluan, percakapan berdua tanpa mahram, bersentuhan antara lelaki dan wanita yang semua itu diharamkan Allah. Jadi bila sudah berada dalam suasana haram dan tidak diredhai Allah, maka mudahlah bagi syaitan menjerumuskan kita ke lembah yg paling hina iaitu zina.


Akibat dari zina tidak berakhir di situ sahaja. Lanjutan darinya akan menghalakan para remaja kepada maksiat dan dosa yang lain pula, seperti pengguguran yg merupakan satu pembunuhan, buang bayi, lari dari rumah yang merupakan perbuatan durhaka kepada ibubapa. Semua itu adalah hasil dari hubungan cinta atau couple dan dating yang diharamkan agama.


Di sini kita melihat betapa buruknya natijah dari pergaulan bebas yang ditegah oleh agama kita, dan di sisi lain kita dapat melihat hikmah dan kebaikan dalam mematuhi larangan tersebut dimana ianya pasti akan memelihara kesucian peribadi wanita dan lelaki kita sekaligus menyelamatkan kita dari tertipu oleh syaitan melalui pintu hawa nafsu seks ini. Alangkah harmoninya masyarakat kita jika remaja kita juah dari dosa-dosa ini, tidak berlaku zina, pembunuhan bayi dan buang bayi lagi dalam masyarakat kita jika lelaki dan wanita kita menjauhi couple dan dating secara haram.


Islam bukanlah agama yang menyekat semua hubungan dan pertemuan antara lelaki dan wanita. Jika pertemuan itu perlu contohnya untuk berbincang bagi tujuan perkahwinan, persiapannya atau tujuan bermesyuarat untuk urusan dakwah misalnya, ianya dibenarkan oleh agama dengan beberapa syarat.


Antaranya hendaklah ditemani oleh mahram wanita itu seperti ibu atau bapanya atau adik beradiknya yang telah baligh, atau rakan yang dipercayai. Ini bertujuan untuk memelihara maruah wanita itu agar tidak dituduh berkhalwat dgn lelaki dan sudah pasti untuk mengelakkan berlakunya dosa-dosa seperti yang telah disebutkan diatas.


Saya ingin menyeru kepada semua wanita dan lelaki muslim, marilah kita berpegang teguh dengan ajaran agama kita yang mulia ini, agar kita akan mendapat rahmat dan kasih sayang dari Allah. Memang susah untuk kita mematuhi suruhan dan larangan Allah, tetapi ianya akan menjadi mudah jika kita menjadikan Allah sebagai kekasih kita. Sudah lazimnya seorang kekasih itu akan mentaati kekasihnya. Soal jodoh kita janganlah kita terlalu ‘berminat’ untuk mendapatkannya sehingga kita mengambil jalan2 yg diharamkan oleh Allah. Matlamat tidak menghalalkan cara.


Kerana jika kita melalui jalan yang haram untuk mendapatkan jodoh kita ditakuti hidup kita sesudah itu tidak diberkatinya, perkahwinan kita tidak bahagia bahkan banyak berlaku pasangan yang berkahwin atas dasar cinta ‘separuh mati’ ini berakhir dgn perceraian.


Semoga dengan kita mentaati semua perintah Allah, Dia akan menganugerahkan kita pasangan yang baik kerana Allah berjanji dalam Surah An Nur bahawa wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita baik.


Semoga kita mendapat petunjuk dari Allah SWT dalam menjalani kehidupan kita yang penuh ujian ini..

0 comments: