Ibnu Qayyim pernah berkata, ada sepuluh sebab yang menzahirkan cinta Allah SWT :
1. Membaca dan memahami al-Quran. Tumbuhkan di relung kalbumu peraan cintakan al-Quran, lantas diterjemahkan melalui amalan membaca dan memahami kandungan ayat-ayatnya. Kemudian renungkan pesan-pesan, maksud dan tujuannya. Ini bagi membolehkan diri kita mengetahui iaitu memahami pengertian maksud dan tujuan kalamullah yang tersurat dalam al-Quran.
2. Mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amalan-amalan sunat. Perbanyaklah mengerjakan ibadah sunat selesai ibadah wajib. Sesungguhnya amalan-amalan sunat dapat melapangkan jalan bagimu menggapai cinta Allah SWT.
3. Sentiasa berzikir walau dimana sahaja dan bila serta dalam keadaan apa sekalipun. Amalkan dalam dirimu zikrullah secara daim (berterusan), baik zikir lisan mahupun zikir hati. Teguhkan dirimu agar selalu ingat Allah SWT dalam apa jua keadaan dan situasi. Sebanyak mana kau berzikir, sebanyak itu pula cinta Allah yang akan kau raih.
4. Mengutamakan cinta Allah SWT berbanding cinta terhadap segala yang lain. Mendahulukan kepentingan Allah SWT atas kepentingan nafsu diri. Paterikan di kalbumu bahawa cinta Allah SWT adalah diatas segala kepentingan dirimu. Jangan sampai cintamu kepada Allah SWT, kau nodai dengan kepentingan duniawi atau gejolak kepentingan yang jauh daripada batas-batas agama dan ketuhanan. Jangan sesekali meletakkan Allah SWT nombor dua berbanding gejolak kepentingan nafsumu.
5. Menghidupkan hati bagi memahami makna hakiki nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT. Tajamkan mata hati dan fikiranmu. Orang yang memahami dengan pengertian hakiki nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT, maka dia sesungguhnya manusia yang termasuk para hamba yang beroleh kasih-Nya.
6. Menghayati dan mengakui kebaikan serta keluhuran Allah SWT sepenuh hati dan jiwa. Orang yang mengakui dan menyedari dari lubuk hatinya yang paling dalam bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih, yang menganugerahkan pelbagai nikmat zahir dan batin serta mengakui keluhuran-Nya. Pengakuan tulus seperti itu melapangkan jalan kasih Allah SWT serta memudahkan bagi menggapai cinta Allah SWT.
7. Menjaga hati daripada segala perasaan cinta selain Allah SWT serta mendidik hati agar tunduk dibawah perintah dan kehendak Allah SWT. Peliharalah hatimu daripada noda-noda kecintaan kepada sesuatu selain Allah SWT. Fokuskan hatimu secara utuh kepada Allah SWT, agar cintamu kepada Allah tidak tersasar, agar wajah cintamu benar-benar hanya dan untuk Allah SWT semata-mata. Lebih daripada itu agar hatimu tetap kekal pada jalan kepatuhan dan ketundukan kepada Allah SWT.
8. Mengasingkan diri untuk syahdu kepada Allah SWT. Menyepilah di tempat sunyi, baca dan fahami ayat-ayat al-Quran. Fokuskan hati dan fikiranmu bagi menghayati ayat-ayat Allah SWT, baik yang termaktub dalam al-Quran mahupun tanda-tanda kuasa-Nya di alam ini.
9. Bergaul dan bersahabat dengan para pencinta dan manusia yang benar. Biasakan dirimu berkumpul bersama orang yang soleh yang telah sampai pada tingkat semangat mahabbatullah. Hayati dan perhatikan dengan teliti kata-kata mereka, teladani jejak semangat mereka agar dirimu mampu meraih apa yang digapai oleh mereka. Bergaul dan bersahabat dengan para pencinta Allah yang soleh membuatmu memahami jalan terbaik bagi menggapai cinta Allah SWT.
10. Menjauhkan hati dripada segala yang memati dan menjauhkan serta memalingkannya daripada Allah SWT. Jaga hatimu. Waspada setiap jejak langkah hidupmu agar hatimu tidak berpaling daripada Allah SWT. Pelihara kesucian hatimu agar cahaya petunjuk Allah SWT sentiasa menyinari kalbu dan jiwamu. Jika hatimu bening dan jiwamu bersih, jalan menuju cinta Allah SWT terbuka lebar bagimu.
My New Life 2021
3 years ago
0 comments:
Post a Comment